Bila DIA menegur

Sekarang Ramadhan.  Ya, sekali lagi ramadhan di bumi uia.

Rasa kosong? Entah, ya atau tidak.

Malas mahu menjawab.



Namun, jauh di sudut hati. Ada tangisan yang pilu. Terasa makin jauh dari Dia.

Apa yang tidak kena juga tidak tahu. Yang pasti jiwa sedang menangis. Minta diisi suatu peringatan. Suatu teguran. Suatu nasihat.

Hati semakin beku. Mendengar surat cintaNya dan dialunkan pun, payah mengalirkan air mata.

Sendu. Kelu. Semenjak bila hati menjadi keras dan beku sebegini??

Patutlah berjuta masalah menimpa. Dan menangis sendiri. Tidak tahu pada siapa perlu dileraikan segala kekusutan.

Terlupa. Bukankah ada Dia? Bukankah Dia setia menunggu? Bicara kalimat seorang hamba? Mengadu dan merintih padaNya?

Kerana hati semakin beku, terlupa teguranNya yang berkali. Bisikan jahat dan nafsu emosi mengatasi dari akal yang terarah ke Dia.

Apa jadi hatimu sehingga jadi sebegini rupa?

 Membelek-belek surat cintaNya sebentar selepas mendengar tangisan syeikh Rifai dalam Surah alfajr.Allah..menangis pun susah, inikan sambil membaca kalamNya. itupun minda melayang entah ke mana.

Kekosongan yang tidak terisi. Hati yang terhiris tidak diubati, malah makin parah.

Sendu lagi.

Hai jiwa yang tenang! kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku  
(al-Fajr [89]: 27-30).

papp!

Sentap.

"Orang yang dekat dengan Allah takkan stress" kata dia.

Sentapp lagi. 

Aduhh jauhnya dariNya.

Tenangkah jiwa ini? 

Indeed, who else anybody control our emotion,our stress, our thought, our mind.
 the answer is it is up to you !! Not he she or even them. but YOU !

Ketahuilah, Dia tidak pernah meninggalkan mu di saat kau menangis tersadai di tepi pintu. Di saat kau rasa dunia seakan menghempapmu dengan batu. Di saat kau rasa semua menuding jari kepadamu. Di saat kau rasa segala-galanya tidak berguna lagi. Di saat kau rasa berat untuk melangkah ke depan dan asyik tersadung bila memulakannya. Di saat kau rasa terasing dalam bumi sendiri. DAN di saat kau rasa kau seperti si kulit siput, ditinggalkan air laut tanpa khabar berita, malah tidak pernah berusaha membawamu pulang, kau menangis sendiri mengenangkan betapa sejuta derita kau bakal tempuhi sendiri. Kau tersendu sendiri di pasir putih.... Ketahuilah DIA ada mendengar serumu.

Mari tadah tangan. Mari sujud padanya. Mari memohon padaNya. Mari kemari luahkan segalanya padaNya. DIA menunggumu. percayalah !







Cerpen : ADIK - sebuah memori


"Adik
Perjalanan hidupnya 
Bukan mudah
Meniti dunia tanpa ayah
Kadang buat dirinya lemah
Kadang buat jiwanya resah
Terduduk sepi menekur mimpi

Namun 
Di sebalik ranjaunya hidup
Janji Allah mekar
Untuk sang yatim terpilih
Tanpa ayah
Buat dia mengenal Maha Gagah
Allahu Rabbul Jalil"

Memori

Adik termenung di tangga. Sayup-sayup kedengaran takbir raya di surau berdekatan rumah. Tapi bukan raya puasa, raya korban. Lembu dan kerbau bakal dikorbankan sebentar lagi. Baju melayu adik sudah lama siap dibutangkan. Sebentar lagi, umat islam bakal menunaikan solat sunat hari raya. Menunggu abang bersiap membuatkan adik termenung seketika.

Bulan lepas, ya, kisah bulan lepas yang terasa cepat berlalu tetapi berbekas di hati adik yang baru menjejak sembilan tahun. Ia petang asar yang redup, angin sepoi-sepoi bahasa dengan jeritan kanak-kanak di padang. Adik juga kanak-kanak itu. Mengejar bola dengan pelbagai gaya. Langsung adik tidak peduli apa sahaja yang terjadi. Yang pasti, gol mesti dimiliki satu. Tadi, usai mengunyah sekeping roti berinti kaya yang disapu ayah, adik terus berlari ke padang. Dalam keseronokan dan hilai tawa mereka mengejar bola, adik nampak abang berlari-lari tanpa berkasut.

"Eh, kenapa abang?!" Adik menjerit mengejar abang dari belakang. Abang berlari-lari anak ke rumah jiran sebelah. Tercungap-cungap memohon bantuan jiran, Tok Aji.

" Abang, kenapa ni??!" Adik benar-benar keliru. Kawan-kawan bola terpinga-pinga melihat adik cemas mengejar abang.

"Ayah,ayah sakit!! " balas abang.

Adik belari pulang ke rumah. Membisu dan buntu. Terlihat ayah terbaring atas ribaan abang. Adik betul-betul tidak mengerti apa. Tok Aji memegang nadi ayah sambil membaca surah dan doa rasanya. Adik tidak pasti. Hanya termenung di situ. Seketika kemudian, bunyi ambulans kedengaran. Ayah diangkat pergi. Adik semakin tidak mengerti. Tetapi, entah mengapa. Ada butir jernih mengalir di pipi.

Ibu hanya tenang. Namun, raut itu punya resah yang hanya ibu mengerti. "Ayah kenapa,bu? "Ibu memeluk adik. "Tak ada apa-apa.Pergi hospital, nanti baliklah. Jom bersiap untuk solat maghrib." Adik hanya menuruti kata ibu. Dan redup petang asar makin memerah. Angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa, tapi bahasanya lebih sedih. Ya benar. Adik rasa suasana bertukar suram. Entah mengapa. Adik masih kecil. Betul tidak mengerti.

Akhirnya, segala sudah terjawab pada esok hari. Ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Adik hanya menangis. Duduk di birai katil ayah yang terbaring. Dari semalam adik tidak menjamah hatta sebutir nasi kerana adik benar-benar buntu. Semuanya sekelip mata. Mata terus berair walau diseka berkali-kali.


***


Ia suatu kisah pahit yang punya makna sendiri. Kata abang, usah ditanya mengapa, usah dipertikaikan kenapa. Allah Al-Alim Maha mengetahui kisah hidup manusia. Tetapi adik tidak boleh lupa. Petang asar yang riang di meja makan. Menikmati roti berinti kaya yang disapu ayah bersama teh o kegemaran ayah. Masih terngiang-ngiang suara ayah meminta teh.

"Syayy (teh dalam bahasa arab) mana syayy? "

Dan usai makan.

"Alhamdulillah, khalas (sudah habis dalam bahasa arab)"

Ya, ia petang yang sangat riang. Tetapi, sekejap sahaja Allah menarik suatu nikmat. Segalanya sekelip mata. Pasti punya hikmah yang besar, kata abang lagi.

Dan sehingga hari ini, adik tidak boleh lupa, angin sepoi-sepoi dengan bahasa sedih dan petang yang suram. Raya Korban tahun ini punya cerita sendiri. Ramai tetamu hadir bertanya khabar dan menziarahi kami sekeluarga terutama ibu. Tabah wajah ibu, tapi dalam hatinya hanya Allah yang tahu. Meskipun adik masih kecil, tapi adik tahu apa itu erti sedih dan gembira.

Hari ini, adik cuba mengerti lagi. Sekalipun terasa sakit untuk memahami. Adik sentiasa cuba. Adik memandang padang sepi. Padang tempat adik bermain ketika ayah sakit. "Adik ! Jom cepat!" Abang melaung dari jauh. Adik berlari meninggalkan buaian.

Buaian terayung-ayung perlahan ditinggal adik. Segalanya punya cerita tersendiri. 
Semoga ayah berbahagia di sana.

- bersambung..

# salam ramdhan Al mubarak 1434.