ADIK- Sebuah memori 3

Ponteng Sekolah

Adik menyusuri lambat-lambat jalan menuju rumah sejurus bas menurunkan adik. "Tang!" . Batu disepak jauh. Mengganggu jalan bagi adik. Sebenarnya hati adik yang terganggu. Entah kenapa asyik runsing semenjak menjejaki darjah empat. Semangat belajar adik kian luntur. Adik tahu di sekolah adik memang pandai. Selalu dapat nombor satu tapi bagi adik itu bukan sebab adik tidak boleh ponteng sekolah. Kalau dah bosan buat apa pergi sekolah! Gerutu hati adik. Kaki melangkah terus sambil hati bermonolog. Seluar adik sedikit berdebu kerana terseret pasir di sepanjang jalan. Adik menepis-nepis seluarnya perlahan. Hati adik sebenarnya sedih. Adik asyik teringat ayah sekarang. Adik rindu sangat pada ayah. Setahun berlalu adik baru terasa kehilangan ayah. Dulu adik masih kecil, kurang memahami apa yang terjadi. Namun hari ini, adik sering termimpi ayah. Adik teringat ayah selalu senyum pada adik, membelikan mainan pabila pulang dari kerja, dibawa tidur sekali pada tiap petang dan infiniti kenangan yang adik sukar lupakan. Buat apa aku bersungguh belajar kalau ayah sudah tiada untuk bangga akan kejayaanku. Arrgghh ! Ayah...... Jiwa adik terus memberontak.

Ibu tersenyum di muka pintu melihat adik pulang. Adik hulurkan tangan bersalam dengan ibu. 
"Dah solat kan? Pergi mandi, makan dan siapakan homework ya," ujar ibu dengan wajah yang keletihan. 
Abang selalu pulang lewat kerana kelas tambahan untuk pelajar tahun enam dan dua kakak pula di sekolah berasrama penuh. Adik mempunyai seorang lagi kakak yang sedang menuntut di universiti. Jadi, selalu di rumah adik makan tengah hari bersama sama ibu. Melihat wajah tabah ibu menyuap nasi sambil termenung buat adik rasa bersalah untuk melayan rasa ponteng sekolah. Kesian ibu! Tapi aku memang kurang tumpuan dalam kelas sekarang. Tambah lagi adik susah nak faham cikgu baru yang ajar subjek Matematik tu. Matematik sudahlah hari-hari ada. Dengus adik dalam hati sambil tangan menceduk gulai lemak cili api kesukaan adik. Sekolah adik dan abang jauh sikit lagipun. Setiap pagi, adik dan abang keluar awal untuk menaiki van besar atau bas untuk ke sekolah. Begitu juga bila pulang dari sekolah. Ibu pasti menanggung yuran yang agak tinggi untuk membiayai kami. Namun, yang menghairankan adik ibu tidak pernah meminta adik atau abang membayar tambang bas sekolah tersebut. Ibu bayar sendiri mungkin.

Keesokannya adik masih ke sekolah walau hati kian memberontak. Entah kenapa bas sekolah lambat pula datang mengambil kami. Puas sudah adik berkejar-kejaran dengan kawan-kawan kerana bosan menunggu. Jam hampir menunjukkan pukul 3.30pm. Adik dan pelajar yang lain mempamerkan wajah yang gusar. Matahari makin terik di kepala. Adik dan Fathullah berkira-kira untuk membeli aiskrim di kedai Tok Man, berdekatan sekolah. Tiba-tiba van besar berderum memasuki ruang sekolah. Adik dan kawan-kawan berlari anak menuju ke van tersebut. Seperti biasa, jika pulang menaiki van pasti berlaku perebutan kerusi dan berhimpit-himpit sedikit. Adik berjaya duduk di kerusi berhampiran Makcik Azmah. fathullah duduk sebelah adik. Makcik Azmah adalah pemilik bas sekolah dan van besar yang adik naiki.

 "Fathullah, bila ayah kamu nak bayar duit tambang? Dah nak masuk bulan Mac ni?" Makcik Azmah bertanya tiba-tiba. Fathullah menjawab sambil kepala berpusing memandang Makcik Azmah.
 "Ayah kata nanti datang rumah bayarkan tambang untuk dua bulan terus".
 "Ha..yelah kau. Nanti silap haribulan tak berbayar pun! Ingat bayar tau!" keras suara Makcik Azmah. Meradang pulak dia kenapa? Adik termanggu.
 " Ha!! Siapa lagi yang tak reti nak bayar tambang bas bulan ni? Cepat bayar! Cakap mak bapak kamu tu berdosa hutang lambat bayar! Faham tak kamu semua?! Makcik Azmah lantang bersuara. Semua dalam van mengangguk tanda faham. Ada yang terkejut dan tidak kurang juga takut pabila mendengar sergahannya.
 "Kau tu bayar belum?!" Sergah Makcik Azmah kepada adik pula. Terkejut bukan kepalang adik.
 "Ibu tak pernah mintak saya bayarkan. Saya pun tak tahu, makcik." Adik menjawab jujur.
 "Tula kau! Tau nak hidup free je! Kau tau tak zaman sekarang ni air kencing pun tak free tau. Habis tu kau nak bayar dengan apa?Air liur kau??!" Jerkahnya pada adik. Tergamam sungguh adik. Adik rasa sangat malu kerana semua mata memerhati. Antara kasihan dan tidak mengerti atau mahu mengejek adik. Fathullah di sebelah mengurut-ngurut bahu adik supaya bersabar. Adik senyum tawar. Adik betul-betul terasa hati. Dan Makcik Azmah terus membebel-bebel memarahi adik dan kawan-kawan sehingga adik tiba di perhentian bas. Fikiran adik melayang jauh. Sedih dan buntu.

Adik berjalan kaki pulang. Bukan sahaja batu, malah ranting kayu turut menjadi mangsa adik hari ini. Adik sungguh terasa hati. Sangat! Adik mana tahu. Bukankah ibu yang bayarkan setiap bulan? Mengapa menempik sebegitu rupa padanya?
Sejurus tiba di rumah, adik menerpa ibu yang duduk di sofa. Tangan ibu memegang buku kecil. Buku catatan mungkin. 
" Ibu.." Adik memanggil ibu perlahan sejurus badan dihenyak atas sofa. Ibu berpaling sambil menutup buku kecil di tangan. 
" Kenapa Adil?" Ibu bertanya kehairanan. 
"Ibu, tadi Makcik Azmah marah-marah. Dia cakap kita makan duit free tak bayar tambang bas. Bukan ibu tolong bayarkan selama ni? Ibu tau tak, dia caci Adil. Dia cakap macam-macam kutuk kita. Adil sedih sangat, bu."
Ibu seakan terpana. Buku kecil di tangan terjelepok ke lantai.
"Maafkan Adil,bu."Adik rasa bersalah bila memandang wajah ibu yang bertambah resah.

Keesokannya, adik bangun seperti biasa.Ibu bangun awal duduk termenung di kerusi makan.
" Adil. Hari ni tak payah sekolah lah." Terkejut adik. 
"Kenapa bu?" Ibu mendengus kecil. 
" Ibu takut Makcik Azmah tu bising-bising lagi. Ibu dah bagitahu abang kau jugak.Takpe, nanti ibu telefon sekolah kamu," ujar ibu cuba senyum dalam hati yang resah. Adik terkesima sambil mengangguk lemah.Nak hooray atau nak sedih ni? Adik buntu. Tetapi kaki tetap diatur menuju ke bilik air. Azan subuh bakal berkumandang lima minit lagi.

                                         ******
 
Dan akhirnya selama seminggu adik dan abang tidak ke sekolah atas alasan tiada kenderaan. Namun, kami tetap menyiapkan homework yang diberikan di rumah dan mengulang kaji pelajaran. Ibu berpesan supaya tidak membuang masa meskipun tidak ke sekolah. Adik tahu pasti ibu runsing memikirkan bayaran tambang bas ke sekolah. Mujur yuran UPSR abang tahun ini telah selesai. Abang akur saat ibu berterus-terang dengannya berbanding adik yang terkebil-kebil memahami keresahan ibu. Yang adik tahu, adik juga malas menghadap lagi wajah Makcik Azmah di tambah dengan kata-katanya tempoh hari. Tidak mengapa, aku pun banyak aktiviti boleh dilakukan. Desis adik dalam hati.

Adik mengemas bilik usai solat asar. Tiba tiba, terdengar suara Makcik Azmah memberi salam.


Bersambung**