Cantik yang fana

"Kalau aku membelek gambar-gambar  aku lagi suka membelek gambar yang aku kelihatan buruk. Nampak gemuk, nampak gelap, nampak biasa-biasa, tak secantik yang lain. Aku lagi rela yang itu.
Kalau aku memilih baju, aku lagi rela menyarung baju yang aku nampak gemuk, yang aku nampak tak cantik. Yang penting bersih dan menutup aurat. Yang bila aku pakai, tak sesuai dekat dengan mereka yang cantik dan berbusana bergaya.." Ujarnya dengan manis senyuman.

Aku tatap dia. Kenapa berfikiran begitu?

"Kau tahu? Dunia ini materialistik. Banyak kali kita tertipu. Bahkan orang-orang yang mengaku beragama pun terperangkap sedikit demi sedikit. Ah! bukan aku mahu memandang tinggi cara aku. Tapi cara ini buat aku lagi dekat dengan Tuhan. Jangan kau silap.

Aku memilih untuk nampak buruk dalam gambar, supaya nanti kalau-kalau kawan aku letaknya di facebook atau insta atau sebarang media sosial, aku tak cepat perasan. Aku tau, kawan-kawan aku ramai followers lelaki. Jadi, aku takkan hidup dalam angan berbunga atau di awangan  yang ada orang minat aku, atau sibuk cari no aku. Dan supaya aku tak rasa bakal suami aku ramai, bila melihat wajah sendiri yang cantik di gambar. Suami aku hanya seorang  dan untuk apa aku rasa ramai akan jatuh hati padaku.

Aku memilih baju-baju yang besar,  supaya aku tahu diri aku bukan barang kemas yang boleh ditayang-tayang. Aku ini hamba Allah. Kecantikan aku untuk bakal suami. Kalau lelaki atau perempuan di luar sana tahu aku gemuk, apa masalahnya? Kalau aku berpakaian biasa-biasa, tak secantik mereka. Apa masalahnya? Aku yang beruntung. Dari situ, aku dapat tahu siapa yang ikhlas berkawan dengan aku. Malah, aku akan dapat bakal suami yang mengenali aku kerana Allah. Bukan kerana cantik zahir aku, yang kalau Tuhan tarik bila-bila hilang nilainya. Melainkan harga iman yang tak ternilai bayarannya..."

Aku terkatup mulut. Mata pedih. Terima kasih awak. Nasihat itu sungguh bermakna, untuk aku yang leka dengan dunia.

"Kita dah tenat dalam dunia yang penat. Kita yang sibuk bina dunia sendiri. Sedang Al quran berkali-kali remind kita. Degil kita. Dunia ini tiada nilai. Hanya jambatan menuju akhirat, yang bila-bila akan roboh. Mendengar kata manusia, meniru segala bentuk trend mereka, tak menjanji kebahagiaan apa-apa. Bukan mereka yang menanggung berat hisab kita di sana. Lebih baik cepat pegang segenggamnya tali Allah, sebelum tali itu makin menjauh. Jangan jadikan saat kematian adalah hari pertama kau sedar tujuan kehidupan kau, 'Izzah."


Jangan jadikan saat kematian adalah hari pertama kita sedar tujuan kehidupan.

Terjaga dari lena kembara rohani. Meraup muka. Allah. Astaghfirullah. 3.40 pagi.